Laman Web Peribadi Saya
Home
Perihal Peribadi
Jaringan Laman Web
Hubungi Saya
Doa Pilihan
Bicara AGAMA
Bicara HIKMAH
Bicara CINTA
Koleksi ALBUM
Kisah Pokok Epal

Cerita yang bakal anda baca ini dipaparkan untuk mengajak para remaja khususnya berfikir sejenak tentang pengajaran di sebalik cerita tersebut. Pengajarannya akan dikupas di akhir cerita ini....
SELAMAT MEMBACA

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal tersebut sepuas-puas hatinya dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainan itu. Pokok epal itu turut menyukai budak tersebut.

Masa semakin menginjak pergi...Budak lelaki yang dulunya gemar bermain-main di sekitar pokok epal tersebut telah pun meningkat remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang agak murung.

Melihatkan kesedihan budak itu, pokok epal itu mengajaknya bermain-main bersamanya. "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak gemar bermain dengan engkau," jawab remaja itu. "Aku mahukan permainan baru namun aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku ini. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan". Budak remaja itu gembira mendengar pelawaan pokok epal itu. Dengan gembiranya, dia memetik semua epal di pokok itu untuk dijualkan bagi mendapatkan wang. Dia berlalu dari situ dengan riangnya. 

Setelah sekian lama, dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa terlalu sedih.

Masa berlalu...Suatu hari, budak remaja itu kembali lagi. Dia kini semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. Terasa rindunya pokok epal itu setelah sekian lama tidak kembali bermain-main dengannya.

"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pokok epal tersebut dengan riangnya. "Aku tiada masa bermain denganmu, aku terpaksa bekerja mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Emmm...Bolehkah kau menolongku?" tanya budak itu lagi. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah untuk melindungi keluargamu tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya". Pokok epal memberi cadangan.

Mendengarkan cadangan pokok epal itu. Riak wajahnya kembali  ceria. Lalu budak dewasa itu memotong ke semua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Hari-hari dinantikan dengan penuh kerinduan. budak remaja yang dinanti-nantikan tidak jua muncul-muncul. Perasaan sedih kembali meyelubungi hati pokok epal itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Rupa-rupanya, dialah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

Pokok epal itu kembali gembira. "Marilah bermain-main di sekitarku" ajak pokok epal yang gembira dengan kedatangan lelaki itu. "Maafkan aku. Aku bukan budak lelaki yang suka bermain-main disekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal tersebut. Lelaki itu merasa amat gembira dengan cadangan tersebut lalu menebang batang pokok epal itu. Kemudian pergi dari situ dengan gembiranya tanpa sebarang kata-kata. Kerinduan yang dialami pokok epal itu sekian lama kembali membayanginya. Belum sempat rasanya ia melepaskan segala kerinduannya kepada budak itu dan kini budak itu telah pergi meninggalkannya semula. 

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin di mamah usia datang menuju ke pokok epal itu. Dialah adalah budak lelaki yang pernah bermain-main di sekitar pokok epal itu dulu. "Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak berikan kepada kau. Aku sudah berikan epalku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batang pokokku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati" kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tak mahu makan epalmu kerana aku sudah tiada gigi untuk memamahnya, aku tak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki itu.

"Jika begitu, kau berehatlah di perdu pokokku," cadang pokok epal itu. Lelaki tua itu pun berehat di perdu pokok epal itu dan berehat semahu-mahunya. Lantas mereka berdua menangis kegembiraan kerana setelah sekian lama berpisah akhirnya mereka kembali bersama seperti dulu. Meskipun mereka tidak selincah dulu tapi terserlah keriangan di wajah mereka.

PENGAJARAN
Sebenarnya pokok epal yang dimaksudkan di dalam petikan cerita di atas adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk memenuhi tuntutan harian kita. Kemudian kita tinggalkan mereka, lupakan jasa serta pengorbanan kita yang melahirkan, membesarkan dan memberi pendidikan kepada kita.
 
Namun tatkala kita ditimpa kesusahan dalam hidup, kita kembali kepada mereka untuk meminta pertolongan. Meskipun kadang kala mereka terusik dengan tingkah laku kita tapi mereka bersedia membantu kita. Berhutang, bergolok bergadai untuk anaknya yang tersayang. Apa yang penting mereka ingin lihat anaknya gembira dan bahagia. kemudian, apabila kita kembali senang....kita lupakan kembali mereka..
 
Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki di dalam cerita di atas bersikap kejam terhadap pokok epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak kini melayan ibu bapa mereka. Jesteru, hargailah mereka selagi mereka masih hidup di dunia ini kerana kita pasti akan rasa kesunyian dan sedih tanpa mereka.

Nabi SAW bersabda : " Sesiapa yang tetap mengerjakan Solat Sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari dibakar oleh Api Neraka
(Hadith riwayat Abu Daud & Tarmizi)