PERIHAL IMAM MAHDI
Menjelang datangnya Imam Mahdi, dunia
ketika itu diliputi oleh kezaliman. Ramai manusia yang tidak mengenal Allah. Sebutan Allah dan Rasul itu hanya dianggap
sebagai kalimat kuno. Hanya ada orang-orang tua yang bercerita tentang agama. Tegasnya masyarakat ketika itu sudah begitu
jauh dari agamanya. Tidak ada lagi orang yang berpuasa, mengerjakan solat dan sebagainya. Minuman-minuman keras sudah menjadi
minuman biasa. Zina sudah berlaku di mana-mana. Hamil tanpa nikah tidak lagi menjadi suatu keaiban. Orang semakin sibuk
mencari kepentingan dirinya, tidak lagi memikirkan kepentingan orang lain. Rasa kasih sayang semakin hilang. Kezaliman
pula semakin menjadi-jadi. Malapetaka serta pelbagai jenis penyakit semakin tersebar luas.
Oleh kerana keadaan yang cukup menyakitkan itu
sehingga ramai manusia sudah bosan dengan kehidupan. Ramai di kalangan mereka yang menginginkan mati daripada
hidup dalam suasana seperti itu.
Imam Mahdi dikatakan sangat mirip dengan
Nabi Muhammad SAW baik dari segi paras rupa, bentuk tubuh, tutur kata, sikap dan akhlaknya. Namanya juga seakan-akan
nama Nabi. Dalam hadith meriwayatkan bahawa dia sendiri tidak mengetahui yang dirinya sebagai Imam Mahdi dan tidak pula
mendakwakan dirinya sebagai seorang Imam. Akan tetapi Allah SWT memilihnya sebagai orang yang berusaha untuk mengembalikan
semula ajaran Islam yang telah dipinggirkan. Kemudian manusia pun secara sepakat mengangkatnya sebagai Imam. Bahkan menurut
riwayat bukan hanya dia tidak mendakwa dirinya sebagai Imam sebaliknya dia tidak suka dirinya diangkat sebagai Imam.
Imam Mahdi datang untuk membetulkan
akidah manusia yang sudah banyak terpesong dengan mengembalikan syariat yang betul. Dalam menyampaikan dakwahnya, beliau banyak
bergerak di kawasan Baitul Maqdis (Palestin). Bahkan di sanalah jualah, beliau banyak terlibat dengan mengajak kaum
muslimin memerangi orang-orang yahudi. Banyak nanti orang-orang yahudi yang mati dibunuh. Imam Mahdi juga diriwayatkan
akan wafat di kawasan Baitul Maqdis dan seterusnya dimakamkan di sana.
Dari Abu Said Al-Khudri.
Rasullulah bersabda : "belum lagi terjadi Qiamat sehingga bumi ini dipenuhi oleh kezaliman dan permusuhan. Kemudian lahirlah
dari keturunanku atau keluargaku orang yang memenuhi dunia dengan keadilan dan kedamaian. Dunia akan dipenuhi keadilan sebagaimana
dipenuhi kezaliman dan permusuhan pada sebelumnya."
Imam Mahdi akan muncul ke
dunia menjelang turunnya Nabi Isa a.s. Ini bermaksud Imam Mahdi sempat berjumpa dengan Nabi Isa a.s. Diriwayatkan daripada
Huzaifah, Rasulullah bersabda "Berpalinglah Imam Mahdi dan sesungguhnya telah turunlah Nabi Isa bin Maryam. Nabi Isa itu
seolah-olah menitiskan air dari rambutnya. Mahdi berkata kepada Nabi Isa. "Maju ke depan untuk mengimami orang ramai ini".
Isa bin Maryam menjawab : bukankah sudah diqamatkan solat bagimu?". Kemudian Nabi Isa pun bersolat dibelakang seorang
lelaki dari keturunanku itu"
Kedatangan Imam Mahdi itu sememangnya
ditunggu-tunggu dan disambut dengan kegembiraan oleh manusia bahkan segenap makhluk lain dibumi ini.