Hikayat Jassasah berkenaan al-Dajjal
Ada riwayat Muslim yang diterima Fatimah Binti Qais mengatakan
: "Saya telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Saya pun seraya ke masjid dan solat bersama Rasulullah
SAW. Selesai solat Rasulullah SAW naik ke mimbar. Nampak seakan bergurau. Baginda tertawa dan berkata : "Jangan ada yang bergerak.
Hendaklah semua tetap duduk di atas sejadahnya" Kemudian berkata : "Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada
yang pulang?" Kami menjawab : "Allah dan RasulNya yang lebih tahu"
Rasulullah SAW berkata lagi : "Demi Allah aku menyuruh kamu
berkumpul di sini bukan ingin menakuti dan bukan pula memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim
Al-Dairy adalah seorang nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu
kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya. Katanya
dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka
ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut
selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak diketahui
orang itu mereka berjumpa dengan seekor binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak kelihatan jantinanya.
Mereka bertanya kepada binatang itu : "Makhluk apakah engkau ini?"
Jawab binatang itu : "Saya adalah Al-Jassasah".
Mereka tanya : "Apakah itu Al-Jassasah?"
Binatang itu menjawab : "Wahai Lelaki, pergilah kamu ke tempat ini
untuk menjumpai lelaki macam ini, sesunguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu".
Mereka seraya menuju ke tempat yang disebutkan binatang itu. Di sana
mereka berjumpa dengan satu makhluk yang sangat besar dan tegap. Mereka tidak pernah berjumpa dengan makhluk sebesar itu.
Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan rantai besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya.
Mereka bertanya "Siapakah anda?"
Orang seperti raksasa itu menjawab : "Kamu telah mendengar
cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya : "Siapa kamu ini?"
Mereka menjawab : "Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami
pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan
selama sebulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan duduki ini. Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat
tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa? Dia menjawab Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya.
Dia hanya menjawab "Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini. Sesunguhnya dia pun
ingin berjumpa dengan kamu. Sebab itulah kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin
tahu siapa tuan?"
Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab lalu terus bertanya : "Ceritakan
kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang terletak di Bisan itu?" nama salah satu tempat di Negeri Syam.
Mereka menjawab "Apakah yang tuan maksudkan?"
"Maksudku apakah bahawa pokok kurma itu masih berbuah?".
Setelah mereka berkata pokok itu berbuah, orang besar itu berkata : "Aku takut pokok itu tidak berbuah lagi"
Orang besar itu bertanya lagi : "Ceritakan kepadaku tentang
Sungai Tabarah."
Mereka menjawab "Tentang apa yang tuan maksudkan?"
"Maksudku, apakah airnya masih ada?"
"Airnya tidak susut" mereka mencelah.
Orang besar itu berkata "Air sungai itu disangsikan akan kering"
Akhirnya lelaki seperti raksasa itu berkata : "Kalau begitu
ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dibuat?"
Mereka menjawab "Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah"
Lelaki itu bertanya lagi "Apakah dia diperangi oleh orang-orang
arab"
"Ya., dia diperangi oleh orang-orang arab"
"Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?"
tambahnya lagi. Mereka menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
"Memang begitulah, pada hal mereka beruntung jika taat kepadanya"
Kata orang besar itu. "Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi
izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam aku sudah dapat pergi ke semua tempat kecuali
Makkah dan Madinah yang tidak dapat aku masuki. Makkah dan Madinah dikawal oleh para malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya"
Menurut orang yang menceritakan hadith ini (Tamim Al-Dairy) : Rasulullah
SAW menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata : "Inilah negeri yang tidak dapat dimasuki Dajjal iaitu Madinah.
Saudara-saudara sekalian apakah sudahku sampaikan cerita ini kepada kamu?"
Mereka menjawab "Ya, Rasulullah"
Rasulullah SAW berkata lagi "Sememangnya hadith Tamim itu lebih menyakinkan
saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelum ini iaitu tentang Makkah dan
Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia tidak mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak bahkan
dari timur" ujar Rasulullah SAW sambil menunjuk ke arah timur.