Laman Web Peribadi Saya
Home
Perihal Peribadi
Jaringan Laman Web
Hubungi Saya
Doa Pilihan
Bicara AGAMA
Bicara HIKMAH
Bicara CINTA
Koleksi ALBUM
Matahari terbit dari Barat

Ramai yang bertanya-tanya untuk apa dijadikan matahari terbit dari barat. Menurut keterangan al-Qurtubi, mungkin saja matahari diterbitkan dari barat ada perkaitannya dengan peristiwa antara Nabi Allah Ibrahim a.s dengan Raja Namrud.

Nabi Ibrahim a.s berkata kepada Namrud, sesuai dengan firman Allah : "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat, " lalu terdiamlah orang-orang kafir itu (Al-Baqarah : 258)

Namrud adalah seorang raja yang sangat sombong. Dia merasakan dirinya cukup hebat sehingga ketika Nabi Ibrahim a.s mengatakan dia mempunyai Tuhan yang Maha Kuasa dan sanggup menghidupkan dan mematikan, maka Raja Namrud turut mendakwa sanggup menghidupkan dan mematikan. Kemudian Nabi Ibrahim menyuruh Namrud menerbitkan matahari dari barat tetapi raja itu terdiam dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Pada zaman sesudah itu pun selalu sahaja muncul orang yang merasa dirinya hebat bahkan zaman teknologi canggih ini pun ada saja manusia yang merasa dirinya hebat. Pada masanya nanti, orang-orang sebegini akan melihat sendiri bagaimana matahari terbit dari barat. Allah SWT ingin menunjukkan kekuasaanNya dan memperlihatkan kepada seluruh manusia bahawa putaran matahari berada di bawah kekuasaanNya dan Dialah yang mengendalikannya.

TERTUTUPNYA PINTU TAUBAT
 
Ibnu Abbas r.a berkata : "Tidak diterima dari orang kafir satu amalan dan juga taubat mereka apabila dia menyatakan keislamannya setelah melihat matahari terbit dari barat. Kecuali orang kafir yang belum akil baligh tatkala dia melihat matahari terbit dari barat lalu dia cepat-cepat masuk Islam, maka diterima keIslamannya. Orang mukmin yang banyak berbuat maksiat juga tidak diterima taubatnya apabila matahari sudah terbit dari barat"
 
Diriwayatkan bahawa Firaun turut menyatakan keimanannya kepada Tuhan Nabi Musa (Allah) ketika sudah tenggelam di laut dan tidak ada apa yang diharapkan dapat menyelamatkannya lagi kecuali Allah. Ini Ada dirakamkan di dalam Al-Quran surah Yunus : 90-91
"..dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas mereka hingga apabila Firaun itu hampir lemas, berkatalah dia : "Saya percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah). Allah berfirman : Apakah sekarang baru engkau percaya padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan"
 
Kesimpulannya, ada masanya taubat tidak lagi diterima iaitu ketika manusia sudah ghargharah (yakni rohnya sudah naik ke kerongkong) kerana hampir mati. Contohnya seperti Firaun yang menyatakan keIslamannya sesudah hampir mati kerana tengggelam. Begitu juga orang yang nazak, tidak diterima taubatnya lagi. Bukan hanya ketika manusia sudah ghargharah tidak terima taubatnya bahkan ketika dunia sudah ghargharah (apabila matahari telah terbit dari barat) kerana sudah hampir dengan peristiwa Qiamat.
 
Ringkasnya, bahaya bagi manusia yang menangguh-nangguhkan taubatnya. Hakikatnya, tidak ada yang mereka tunggu kecuali tiga perkara. sesuai dengan Firman Allah dalam surah Al-an'am ayat 158 yang secara ringkasnya:-
 
PERTAMA : Kedatangan Malaikat Maut
KEDUA : Kedatangan Seksa Allah
KETIGA : Kedatangan tanda-tanda kekuasaan Allah iaitu tanda-tanda Qiamat

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya
(Ali-Imraan : Ayat 185)