Pelantar yang dikenali dengan Ward
Hunt Ice Shelf yang terletak di Pulau Ellesmere di Wilayah Nunavut, Kanada mulai retak
dan mengakibatkan air tawar yang terkepung di bawahnya terlepas ke laut.
Menurut laporan analisis terbaru dari saintis Amerika Syarikat
dan Kanada yang mengunjungi wilayah itu baru-baru ini, pelantar itu terbelah dua dan terbahagi kepada bongkah-bongkah
ais besar yang boleh membahayakan laluan kapal dan pelantar minyak di Laut Beaufort.
Bagaimanapun, kajian tersebut tidak menemui sebarang bukti
untuk mengaitkan penemuan tersebut dengan fenomena pemanasan global yang semakin meningkat di seluruh dunia.
Kajian tersebut dijalankan oleh Warwick
Vincent dan Derek Mueller dari Laval University di Quebec City, Kanada bersama Martin Jeffries
dari University Alaska Fairbanks. Menurut laporan yang diperolehi dalam Geophysical Research Letters, semua
air tawar dari Fiod Disraeli sepanjang lebih kurang 32 kilometer itu telah melimpah keluar. Ia sekaligus memberi kesan kepada
hidupan di air tawar dan spesis marin seperti plankton dan alga.
Pelantar seluas 443 kilometer persegi itu kini telah terbelah
dua dari utara ke selatan. Menurut para saintis, perubahan yang berlaku sejak pertengahan tahun 2000 merupakan kemuncak daripada
perubahan yang terjadi sejak tiga dekad lalu.
Catatan kajian-kajian sebelum ini menunjukkan peningkatan
antara 4 darjah celcius hingga 6 darjah celcius dlam setiap 10 tahun sejak 1967. Purata suhu pada bulan Julai sejak 1967 ialah
1.3 darjah celcius iaitu hanya sedikit melepasi tahap beku.
IMPLIKASI NEGATIF
Perubahan cuaca telah memberikan kesan kepada suhu laut, kemasinan
dan pola aliran yang turut mempengaruhi pemecahan pelantar ais di Antartika.
Ia seterusnya akan melemahkan bongkah ais dan mengakibatkan
ia mudah terdedah kepada sebarang perubahan aliran air dan persekitaran.
Kehilangan air tawar itu telah mengubah ekosistem bagi hidupan
dan tumbuhan di kawasan tersebut. Kemungkinan banjir besar turut berlaku.